Meskipun terdapat sedikit kebimbangan menjadi golongan minoriti apabila memasuki SJKC, terutama dari segi perbezaan bahasa, agama dan budaya, rata-rata ibu bapa berpendapat tiada isu anak mereka dipinggirkan dalam pembelajaran.
Bahkan, mereka merasakan pihak sekolah memahami dan menghormati perbezaan agama, kaum, serta budaya yang berlainan di sekolah vernakular.
Bercakap di forum sesi perkongsian pengalaman “Anak Melayu di Sekolah Cina” yang berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur malam tadi, tiga panelis yang pernah bersekolah di SJKC serta menghantar anak mereka ke sekolah seumpamanya menceritakan pengalaman mereka.
Salah seorang panelis E Nasaruddin Muhammad yang menghantar keempat-empat anaknya ke SJKC berkata tahap disiplin yang tinggi serta cara pembelajaran yang tegas membentuk anak-anaknya lebih matang dan berfikir secara kritikal.
Kata Nasaruddin, keputusan untuk menghantar anak-anaknya ke SJKC dibuat berdasarkan pengalamannya, yang juga pernah menjadi pelajar SJKC dan sekolah kebangsaan (SK).
Sambil membuat perbandingan sistem pembelajaran di kedua-dua aliran sekolah tersebut, Nasaruddin berpendapat guru di SJKC lebih menggalakkan muridnya untuk banyak mengajukan soalan.
Katanya, hal ini berbeza ketika di sekolah kebangsaan yang menurutnya, murid sering kali dimarahi apabila berbuat demikian.
“Hantar anak ke SJKC mereka lebih berdikari, matang dan berdisplin. Cikgu ajar mereka berfikir daripada belajar berdasarkan daripada buku sahaja.
“Saya ada pengalaman di SK dan SJKC, sebagai murid kita kena memahami (pemahaman), bukan menghafal.
“Sebab apabila faham, kita boleh fikir apa yang betul dan tak betul. Dan boleh olahkan idea baru yang di luar kotak,” katanya sebelum menceritakan ketegasan gurunya di SJKC.
Berdasarkan statistik Kementerian Pendidikan pada tahun lalu, peratusan murid bukan daripada kaum Cina di SJKC mencecah 18 peratus daripada keseluruhan 520,000 murid di SJKC.
Peratusan tersebut turut merangkumi murid daripada kaum Melayu.
Syukur dapat tangani beban tugas
Sementara itu, lepasan SJKC, Joe Shekin yang mengakui pada mulanya berasa sedikit terasing apabila berada di sekolah yang majoritinya kaum Cina berkata, dia lama-kelamaan mula memahami tujuan ibu bapanya menghantarnya ke sekolah berkenaan.
Joe yang kini merupakan guru bahasa Mandarin menjelaskan bahawa ibu bapanya sejak dahulu lagi menggalakkannya bergaul dengan pelbagai kaum. Ini secara tidak langsung meningkatkan kemahiran bersosial.
Jelas Joe, meskipun terdapat rakan-rakannya daripada kaum Melayu pernah mempertikaikan kerjayanya yang mengajar bahasa Mandarin kerana dilihat seolah-olah lebih mengutamakan bahasa itu, Joe berkata dia tidak mengendahkan tohmahan tersebut.
Baginya, fikiran sedemikian adalah seperti katak di bawah tempurung.
“Saya cikgu bahasa Mandarin pernah kena tegur kenapa tak utamakan bahasa Arab dulu?
“Saya nak ubah persepsi yang selalu sangat negatif dengan SJKC,” katanya.
Menceritakan pengalamannya belajar di SJKC, katanya, sebelum ini dia selalu mempersoalkan keputusan ibu bapanya menghantar dia ke SJKC kerana menurutnya dia sering dibebani dengan tugasan sekolah yang banyak sewaktu cuti sekolah, jika dibandingkan dengan rakan-rakannya yang berada di sekolah kebangsaan.
“Tapi bila masuk universiti, saya bersyukur sebab dah biasa dengan kerja (assignment) yang banyak. Itulah perbezaannya. Memang mengomel masa kecil dulu.
“Kita dilatih untuk berdisiplin. Apa-apa cabaran untuk kita hadapi pada masa depan, kita akan lebih kental dan senang sebab dah biasa dilatih sejak kecil,” katanya.
Selain itu, mengulas pertanyaan salah seorang hadirin, Joe dan Nasaruddin turut menyifatkan bahawa kemahiran mereka dalam berbahasa Mandarin itu memudahkan mereka memperoleh pekerjaan.
Tak setuju mudah dapat kerja
Namun, salah seorang panelis, Rosly Yusof yang menghantar anak ketiganya ke SJKC tidak bersetuju dengan kenyataan Nasaruddin dan Joe itu.
Bagi Rosly, itu merupakan satu bentuk diskriminasi, sambil menyifatkan ia sebagai perkauman.
“Maaflah, tapi saya nampak ini sebagai satu yang negatif. Kita rakyat Malaysia, 60 tahun merdeka kita tak perlu bertutur selain bahasa Melayu atau bahasa Inggeris melainkan audien itu kaum kita,” katanya.
Rosly yang menghantar dua lagi anaknya ke sekolah aliran yang berbeza iaitu sekolah kebangsaan dan sekolah agama merasakan dirinya menghantar anaknya ke SJKC disebabkan inginkan yang terbaik untuk anaknya.
Dia turut mengulas mengenai soalan dari hadirin yang meminta panelis menyampaikan mesej terhadap segelintir ahli politik yang mengeluarkan kenyataan menggesa penutupan sekolah vernakular, sama ada sebelum atau selepas kerajaan baru.
“Faktor utama ibu bapa hantar anak ke sekolah Cina kerana mereka yakin bahawa itu adalah sekolah yang terbaik untuk anak mereka.
“Bukan sahaja di sekolah Cina, ada sekolah-sekolah dalam taman perumahan tapi anak mereka tidak dihantar ke sekolah di taman perumahan itu, tapi dihantar ke sekolah kebangsaan di tempat yang lain.
“Sebab sekolah yang dihantar itu dia (ibu bapa) yakin lebih baik daripada sekolah yang ada di taman perumahan rumah dia,” katanya.
Oleh itu, sebagai membidas gesaan penutupan SJKC, Rosly mencadangkan keperluan persaingan yang sihat di sekolah kebangsaan, sehingga mampu meletakkan kepercayaan terhadap ibu bapa yang menghantar anak mereka ke SJKC.
Pada 22 Jun, Dewan Muslimat PAS ketika berlangsungnya muktamar menyeru Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menamatkan sistem pendidikan vernakular di negara ini.
Gesaan itu dibuat apabila wakil muslimat PAS, Salamiah Md Nor, berkata dia melihat sistem yang diamalkan sekarang tidak membawa kepada perpaduan antara rakyat di negara ini.
Bagaimanapun, Naib presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menegaskan saranan yang dikemukakan itu bukanlah dasar parti.
--
Berita : MalaysiaKini